Bahagian 3

Muka datuk jadi merah padam, peluh mula membasahi baju datuk, giginya dilagakan rapat-rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya terdiri lembaga yang berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit serta mempunyai gigi yang besar, dua giginya di sebelah kanan dan kiri terjulur keluar macam gading gajah. Ia di apit dengan enam jin lain yang sama hebat dengannya. "Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak seperti di tiup angin.

Datuk diam dan terus berzikir. "kau tahu apa kesalahan kau manusia?" Tambah suara itu. Badan datuk terus di basahi peluh. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan pada dirinya dengan ilmu batin yang di pusakainya dari Allahyarham neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya kedalam tubuh datuk. "Tidak," jawab datuk dengan berani. "kau masuk ke dalam kawasan larangan aku.""Aku sudah meminta kebenaran". "Aku tidak membenarkan". Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak-gerak.

"Kalau kau tidak membenarkannya mengapa kau tidak memberi isyarat, semasa aku masuk tadi". Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya. "kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok-pokok hutan bergerak-gerak akibat aura yang dipercikan oleh jin itu. Percakapan datuk dengan jin semakin hangat. Secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar menjadi pertarugan kebatinan. Kemampuan dan kehebatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan di lengan. Peluhnya jangan dikira, terus menerus membasahi seluruh badan.

Datuk tahu kalau dia kalah, dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan walau dengan apa cara sekalipun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum kerana itu satu tanda yang baik. Kemenangan  akan berpihak padanya. Datuk terus membaca jampi : "Jong jeli jong tali cemati, tebang buluh bunting pagi untuk melemang..." Belum sempat datuk habiskan jampinya, dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus menempik sekuat hati dengan menyeru nama guru batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : " Kalau aku kalah aku rebah, kalau aku menang aku berdiri kau pulang ke tempat asalmu!".

Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan jadi sunyi dan pemandangan datuk kembali normal, yang wujud di depan datuk sekarang ialah sebatang pokok besar dengan akar-akar bergayutan mencium muka bumi. Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang condongnya mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Selepas itu, datuk memotong cabang tujuh itu seraya berkata : "Ini kawasan manusia dan kau telah pulang ke tempat asalmu".